PERATURAN-PERATURAN KESATUAN KAKITANGAN
AKADEMIK KOLEJ TUNKU ABDUL RAHMAN
Peraturan 1 Nama dan Pejabat yang berdaftar
(1) Adapun nama kesatuan sekerja yang telah ditubuhkan menurut Peraturan-Peraturan ini ialah Kesatuan Kakitangan Akademik Kolej Tunku Abdul Rahman (yang disebut “Kesatuan” di dalam ini).
(2) Pejabat Kesatuan ini yang di daftarkan dan tempat mesyuarat-nya ialah di Kampus Kolej Tunku Abdul Rahman, Jalan Genting Kelang, Wilayah Persekutuan, 53300 Kuala Lumpur.
Peraturan 2 Tujuan
(1) Adapun tujuan-tujuan Kesatuan ini ialah: -
(a) Hendak mengadakan sebuah pertubuhan yang lengkap bagi pekerja-pekerja sebagaimana yang ditentukan dalam Peraturan 3(1) dan hendak memajukan kepentingan ahli-ahlinya dalam hal perusahaan, kemasyarakatan dan pengetahuan.
(b) Memperoleh dan mengekalkan bagi ahli-ahlinya sukatan gaji yang adil dan sesuai, keselamatan bekerja serta masa dan syarat-syarat bekerja yang berpatutan, dan juga memberi nasihat tentang hal-hal yang tersebut.
(c) Mengatur perhubungan di antara pihak majikan dengan pekerja, di antara ahli dengan ahli, dan di antara ahli dengan lain-lain pekerja, dan berikhtiar untuk menyelesaikan sebarang perselisehan di antara mereka itu dengan cara persahabatan dan bermuafakat.
(d) Menolong jayakan, dengan wang atau lain-lainnya, kerja atau hasrat sesuatu pertubuhan atau badan yang halal yang mempunyai tujuan hendak memajukan kepentingan-kepentingan pekerja, kesatuan sekerja dan ahli-ahli kesatuan sekerja, menurut peruntukan-peruntukan Seksyen 50 Ordinan Kesatuan Sekerja 1959.
(e) Memajukan kebajikan ahli-ahlinya dari segi kebendaan, kemusyarakatan dan pelajaran dengan jalan yang halal yang difikirkan munasabah oleh Mesyuarat Agung atau Majlis Jawatankuasa Kerja.
(f) Memberi bantuan guaman kepada ahli-ahli berkenaan dengan pekerjaan mereka itu jika dipersetujukan oleh Majlis Jawatankuasa Kerja.
(g) Mengadakan bantuan-bantuan jika dipersetujukan oleh Majlis Jawatankuasa Kerja, seperti bayaran di masa teraniaya dan di masa pertikaian kerja.
(h) Menganjurkan undang-undang untuk kebajikan ahli-ahli Kesatuan ini khasnya dan ahli-ahli kesatuan sekerja amnya.
(i) Menyelenggarakan, jika dipersetujukan oleh Mesyuarat Agung, pekerjaan mengarang, mencetak, menerbit dan memperedarkan sebarang suratkhabar, majallah, kertas berita atau lain-lain penerbitan untuk menjayakan tujuan-tujuan Kesatuan ini atau untuk faedah ahli-ahlinya.
(j) Mengadakan kumpulan wang kebajikan, jika dipersetujukan oleh Mesyuarat Agung, dan menggubalkan peraturan-peraturan untuk mengawali kumpulan wang itu. Peraturan-peraturan itu tidak boleh dijalankan sebelum didaftarkan oleh Pendaftar Kesatuan Sekerja.
(k) Amnya hendak membuat sebarang pekerjaan yang halal dibuat oleh sesebuah kesatuan sekerja di sisi undang-undang.
(2) Tujuan-tujuan ini akan dilaksanakan menurut Peraturan-peraturan ini dan menurut Ordinan Kesatuan Sekerja 1959.
Peraturan 3 Ahli Kesatuan
(1) Keanggotaan kesatuan ini terbuka kepada pekerja-pekerja yang bekerja sebagai penyarah di Kolej Tunku Abdul Rahman. Mereka itu hendaklah berumur lebih dari 18 tahun dan mempunyai tempat kerjanya di Semanjung Malaysia.
(2) Seseorang yang belum sampai 21 umurnya tidaklah boleh menjadi pegawai atau Pemegang Amanah Kesatuan.
(3) Permintaan menjadi ahli hendaklah dibuat dengan mengisi borang yang ditentukan oleh Kesatuan dan menyampaikannya kepada Setiausaha. Setiausaha Kesatuan akan menyampaikan permintaan itu kepada Majlis Jawatankuasa Kerja untuk diluluskan. Majlis Jawatankuasa Kerja boleh, menurut timbang bicaranya, menolak sebarang permintaan menjadi ahli dengan tidak payah memberi alasannya.
(4) Apabila permintaan seseorang itu telah diluluskan oleh Majlis Jawatankuasa Kerja, dan yuran masuk dan yuran bulanannya yang pertama telah dijelaskannya, maka namanya akan didaftarkan dalam Daftar Ahli sebagai seorang ahli dan akan diberikan senaskah buku Peraturan-Peraturan Kesatuan dengan percuma.
(5) Seseorang yang diterima masuk menjadi ahli dan kemudian mencari dan memperoleh pekerjaan di dalam sebarang pekerjaan yang lain dari yang ditentukan dalam Peraturan 3(1) akan terhenti dari menjadi ahli kesatuan dan namanya akan dikeluarkan dari Daftar Ahli.
Peraturan 4 Yuran Kesatuan
(1) Yuran Kesatuan adalah seperti berikut:-
Yuran Masuk … RM 10.00
Yuran Bulanan … RM 5.00
Sebarang kenaikan yuran hendaklah diputuskan dengan undi sulit menurut Peraturan 25.
(2) Yuran bulanan hendaklah dijelaskan pada hari kerja yang pertama dalam tiap-tiap bulan.
(3) Seseorang ahli yang terhutang yurannya selama tiga bulan akan terhenti dari menjadi ahli Kesatuan dan akan hilanglah segala haknya di dalam Kesatuan dan namanya akan dipotong dari Daftar Ahli.
(4) Seseorang yang terhenti dari menjadi ahli kerana tunggakan yuran boleh meminta menjadi ahli semula menurut Peraturan 3.
(5) Majlis Jawatankuasa Kerja berkuasa menetapkan bayaran yuran bulanan yang kurang atau melepaskan buat sementara bayaran yuran bulanan atau kutipan khas (jika ada) bagi ahli-ahli yang berhenti kerja, sakit atau ditimpa kesusahan lain yang sebenarnya.
Peraturan 5 Berhenti menjadi Ahli
Ahli yang hendak berhenti dari Kesatuan hendaklah memberi notis sekurangkurangnya seminggu dengan bersurat kepada Setiausaha Kesatuan dan hendaklah menjelaskan segala yuran dan hutangnya.
Peraturan 6 Hak Ahli
Sekalian ahli Kesatuan mempunyai hak yang sama di dalam Kesatuan ini kecuali dalam perkara-perkara tertentu yang dinyatakan di dalam Peraturan-Peraturan ini.
Peraturan 7 Kewajipan Ahli
(1) Adalah menjadi kewajipan tiap-tiap ahli menjelaskan yurannya, dengan tetap dan mendapatkan resit kerana pembayarannya itu. Membayar yuran dengan menepati masanya adalah menjadi tanggungjawab ahli dan bukanlah tanggungjawab pegawai-pegawai Kesatuan.
(2) Adalah menjadi kewajipan ahli memberi tahu Setiausaha Kesatuan dengan segera apabila pindah atau bertukar tempat kerja.
(3) Seseorang ahli yang menghadiri mesyuarat Kesatuan atau menggunakan rumah Kesatuan hendaklah berkelakuan baik, jika tidak ia akan disuruh keluar oleh salah seorang pegawai Kesatuan yang bertanggungjawab.
(4) Tidak boleh seseorang ahli menerbitkan sebarang surat keterangan atau surat pekelilingan mengenai Kesatuan melainkan jika surat keterangan atau perkelilingan itu telah diluluskan oleh Majlis Jawatankuasa Kerja, dan tidak boleh seseorang ahli mengumumkan kerja atau perkara Kesatuan kepada orang yang bukan ahli atau kepada lain-lain pertubuhan atau suratkhabar-suratkhabar dengan tiada mendapat kebenaran yang tersebut.
(5) Tidaklah boleh seseorang ahli Kesatuan menjadi ahli sebarang kesatuan sekerja yang lain kecuali dengan izin Majlis Jawatankuasa Kerja.
Peraturan 8 Perlembagaan dan Pentadbiran
(1) Kuasa yang tertinggi sekali dalam Kesatuan ini terserah kepada Mesyuarat Agung melainkan kuasa mengenai perkara-perkara yang wajib diambil undi sulit menurut Peraturan 25.
(2) Maka dengan syarat yang tersebut di atas itu Kesatuan ini akan ditadbirkan oleh Majlis Jawatankuasa Kerja.
Peraturan 9 Mesyuarat Agung Tahunan
(1) Mesyuarat Agung Tahunan Kesatuan ini hendaklah diadakan seberapa cepat selepas 31hb. Mac dan tidak lewat dari 30hb. September tiap-tiap tahun. Tarikh, masa dan tempat mesyuarat itu akan ditetapkan oleh Majlis Jawatankuasa Kerja.
(2) Notis permulaan bagi Mesyuarat Agung Tahunan yang menyatakan tarikh, masa dan tempat mesyuarat dan meminta usul-usul untuk dibincangkan di dalam mesyuarat itu (termasuk usul pemindaan Peraturan), nama-nama calun anggota Majlis Jawatankuasa Kerja, hendaklah dihantar oleh Setiausaha Kesatuan kepada semua ahli-ahli sekurang-kurangnya 28 hari sebelum tarikh mesyuarat.
(3) Calunan bagi jawatan di dalam Kesatuan dan usul-usul untuk dibincangkan di dalam Mesyuarat Agung hendaklah dihantar oleh ahli-ahli kepada Setiausaha sekurang-kurangnya lima belas hari sebelum Mesyuarat Agung. Semua calunan hendaklah dibuat di dalam borang yang ditentukan oleh Kesatuan dan hendaklah mengandungi perkara-perkara yang berikut: nama jawatan yang ditandingi, nama calun, Nombor Kad Pengenalan, tarikh lahir, alamat, pekerjaan, Nombor Sijil Kerakyatan dan lama masa ia bekerja dalam pekerjaan, perdagangan atau perusahaan seperti yang ditentukan dalam Peraturan 3(1). Tidaklah sah sesuatu calunan itu kecuali (a) ia ditandatangani oleh seorang penyokong dan seorang pencadang yang merupakan ahli-ahli berhak, dan (b) ia mengandungi persetujuan calun yang hendak bertanding itu secara dinyatakan.
(4) Setiausaha Kesatuan hendaklah menghantar kepada semua ahli sekurang-kurangnya 7 hari sebelum tarikh mesyuarat suatu ajenda yang mengandungi usul-usul untuk perbincangan, penyata tahunan dan penyata kewangan (jika ada), dan kertas-kertas undi sulit dengan secukupnya menurut Peraturan 25 untuk pilihan anggota Majlis Jawatankuasa Kerja dan untuk mengundi perkara-perdara yang akan diputuskan dengan undi sulit.
(5) Satu per empat dari jumlah bilangan ahli-ahli yang berhak mengundi akan menjadi koram Mesyuarat Agung Tahunan.
(6) Jika satu jam kemudian dari masa yang ditentukan itu bilangan ahli yang hadir (atau koram) tidak mencukupi maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh (tidak lewat dari 30 hari kemudian) yang akan ditetapkan oleh Majlis Jawatankuasa Kerja.
(7) Dalam mesuarat yang ditangguhkan itu jika tidak juga didapati koramnya pada masa yang ditentukan maka ahli-ahli yang hadir berkuasa menjalankan mesyuarat akan tetapi tidak berkuasa meminda Peraturan-Peraturan Kesatuan.
(8) Pekerjaan Mesyuarat Agung Tahunan ialah menerima penyata-penyata daripada Setiausaha Kesatuan, Bendahari dan Majlis Jawatankuasa Kerja, membincangkan dan memutuskan sebarang perkara mengenai kebajikan ahli dan kemajuan Kesatuan; melantik pemegang amanah bila mustahak, Juruaudit Dalam dan Pemeriksa Undi; membincang dan memutuskan perkara-perkara lain yang terkandung di dalam ajinda; dan menerima penyata Pemeriksa Undi berkenaan dengan undi sulit bagi pilihan anggota Majlis Jawatankuasa Kerja.
Peraturan 10 Mesyuarat Agung Luarbiasa
(1) Mesyuarat Agung Luarbiasa akan diadakan:-
(a) apabila sahaja difikirkan mustahak oleh Majlis Jawatankuasa Kerja; atau
(b) dengan permintaan bersama yang bertulis oleh tidak kurang dari satu per empat jumlah ahli yang berhak mengundi, menyatakan tujuan dan sebab mengadakan mesyuarat itu.
(2) Mesyuarat Agung Luarbiasa yang diminta oleh ahli-ahli itu hendaklah diadakan dalam tempoh 14 hari dari tarikh permintaan itu diterima.
(3) Notis dan ajinda bagi Mesyuarat Agung Luarbiasa hendaklah disampaikan oleh Setiausaha Kesatuan sekurang-kurangnya 7 hari sebelum tarikh mesyuarat.
(4) Peruntukan-peruntukan Peraturan 9 berkenaan dengan koram dan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan adalah juga terpakai bagi Mesyuarat Agung Luarbiasa. Akan tetapi dalam Mesyuarat Agung Luarbiasa yang diminta oleh ahli-ahli jika mesyuarat itu ditangguhkan kerana koram tidak cukup maka dalam mesyuarat yang diadakan sesudah ditangguhkan itu jika satu jam kemudian dari masa yang ditentukan koramnya tidak juga cukup mesyuarat itu akan dibatalkan. Maka tidaklah boleh diadakan mesyuarat untuk perkara itu juga sehingga lepas enam bulan dari tarikh mesyuarat itu dibatalkan.
(5) Jika Mesyuarat Agung Tahunan tidak dapat diadakan dalam masa yang ditentukan dalam Peraturan 9, maka berkuasalah Mesyuarat Agung Luarbiasa menjalankan sebarang kerja yang lazimnya dijalankan oleh Mesyuarat Agung Tahunan dengan syarat Mesyuarat Agung Luarbiasa yang demikian mestilah diadakan sebelum 31hb. Disember dalam tahun yang berkenaan.
Peraturan 11 Pegawai dan Kakitangan Kesatuan
(Amendment w.e.f. 11th June 2001)
(1) Erti pegawai dalam Kesatuan ini ialah seseorang yang menjadi ahli Majlis Jawatankuasa Kerja, tetapi tidaklah termasuk Juru odit.
(2) Tidaklah boleh seseorang itu dilantik atau bertugas sebagai pegawai kesatuan jika orang itu:-
(a) bukan ahli Kesatuan ; atau
(b) belum sampai 21 tahun umurnya; atau
(c) bukan warganegara Persekutuan; atau
(d) belum bekerja atau membuat pekerjaan seperti yang ditentukan dalam Peraturan 3(1) selama sekurang-kurangnya satu tahun dalam pekerjaan tersebut; atau
(e) pernah menjadi pengelola (executive) mana-mana satu kesatuan yang pendaftarannya telah dibatalkan dengan kuasa Ordinan Kesatuan Sekerja 1959 Seksyen 15, seksyen kecil (1)(b) Ceraian (iv), atau Ceraian (vi),atau dengan kuasa Undang-undang (Enactment) yang telah dirombak oleh ordinan itu; atau
(f) pernah dihukum salah oleh mahkamah kerana pecah amanah, pemerasan atau mengugut , atau kerana melakukan sebarang kesalahan lain yang mengikut pendapat Pendaftar Kesatuan Sekerja tidak melayakkannya menjadi pegawai sesebuah kesatuan sekerja; atau
(g) seorang pegawai atau pekerja sesebuah parti politik.
(3) Tertakluk kepada pengesahan mesyuarat agung, Majlis Jawatankuasa Kerja berkuasa menggaji orang-orang yang difikirkannya perlu: Dengan syarat seseorang pekerja kesatuan itu tidak boleh menjadi pegawai Kesatuan (melainkan ia dikecualikan di bawah peruntukan seksyen 30 Ordinan Kesatuan Sekerja) atau bertugas dengan demikian rupa hingga urusan hal ehwal kesatuan itu nampaknya terserah di tangannya.
Dan disyaratkan pula selanjutnya bahawa seseorang itu tidak boleh digaji demikian itu jika: -
(a) ia bukan warga negara Persekutuan; atau
(b) ia telah disahkan oleh sesebuah Mahkamah melakukan suatu kesalahan jenayah dan belum lagi mendapat pengampunan bagi kesalahan tersebut dan kesalahan itu mengikut pendapat Pendaftar Kesatuan Sekerja tidak melayakkannya digaji oleh sesebuah kesatuan sekerja; atau
(c) ia adalah seorang pegawai atau pekerja sesebuah kesatuan sekerja yang lain; atau
(d) ia adalah seorang pegawai atau pekerja sebuah parti politik.
Peraturan 12 Majlis Jawatankuasa Kerja
(1) Majlis Jawatankuasa Kerja adalah menjadi badan yang menjalankan pentadbiran dan menguruskan hal ehwal Kesatuan, termasuk hal pertikaian kerja, dalam masa di antara dua Mesyuarat Agung Tahunan.
(2) Majlis Jawatankuasa Kerja akan mengandungi seorang Yang Dipertua, seorang naib Yang Dipertua, seorang Setiausaha, seorang Penolong Setiausaha, seorang Bendahari dan 5 orang ahli Jawatankuasa Kerja. Ahli-ahli Majlis Jawatankuasa Kerja akan dinamakan pegawai-pegawai kesatuan.
Mereka hendaklah dilantik setiap dua (2) tahun dengan undi sulit oleh seluruh ahli. Dengan syarat sekiranya seseorang calun untuk jawatan itu tidak berlawan dan pencalunannya telah dilaksanakan menurut cara-cara yang ditentukan di dalam Peraturan 9(3), maka ia akan dianggap dengan serta merta telah dilantik dan namanya akan diasingkan dari kertas undi untuk perlantikan pegawai-pegawai.
Dan disyaratkan pula selanjutnya bahawa Majlis Jawatankuasa Kerja yang pertama hendaklah dilantik dengan undi sulit dalam masa enam bulan setelah kesatuan didaftarkan, dan sehingga perlantikan itu dijalankan Majlis Jawatankuasa.
Sementara yang dibentuk waktu penubuhan kesatuan hendaklah menguruskan hal ehwal kesatuan. Dengan syarat sekiranya pada suatu mesyuarat agung luarbiasa suatu usul “tidak percaya” terhadap Majlis Jawatankuasa Kerja telah diluluskan oleh dua per tiga suara teramai Majlis Jawatankuasa Kerja hendaklah dengan serta merta bertugas sebagai pengurus sementara, dan di dalam tempoh sebulan setelah mesyuarat agung luarbiasa itu, ia hendaklah berikhtiar mengadakan perlantikan semula pegawai-pegawai, dilaksanakan dengan undi sulit. Pegawai-pegawai yang dilantik dengan cara ini hendaklah memegang jawatan sehingga mesyuarat agung tahunan yang akan datang.
Apabila sahaja berlaku pertukaran pegawai-pegawai di dalam masa satu minggu pegawai-pegawai atau Majlis Jawatankuasa Kerja yang bakal meninggalkan jawatan hendaklah menyerahkan kepada pegawai-pegawai atau Majlis Jawatankuasa Kerja yang bakal memegang jawatan segala rekod-rekod berhubung dengan jawatannya.
(3) Majlis Jawatankuasa Kerja hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya tiga bulan sekali, dan cukup koram mesyuarat apabila hadir setengah dari jumlah bilangan ahlinya. Minit-minit mesyuarat Majlis Jawatankuasa Kerja hendaklah disahkan di dalam mesyuarat-mesyuarat biasanya.
(4) Mesyuarat Jawatankuasa Kerja hendaklah diadakan oleh Setiausaha, atau persetujuan Yang Dipertua. Pengumuman mengenai mesyuarat hendaklah diberikan selama lima hari penuh terlebih dahulu. Permintaan dari ahli-ahli Jawatankuasa supaya diadakan mesyuarat Majlis Jawatankuasa Kerja hendaklah dibuat dengan bersurat dan dihantarkan kepada setiausaha Kesatuan.
(5) Apabila berlaku sesuatu perkara yang berkehendakkan keputusan Majlis Jawatankuasa Kerja dengan serta merta dan tidak pula dapat diadakan mesyuarat tergempar, maka bolehlah Setiausaha Kesatuan, dengan persetujuan Yang Dipertua mendapatkan keputusan dengan jalan surat perkelilingan. Syarat-syarat yang tersebut di bawah ini hendaklah di sempurnakan sebelum perkara itu boleh dianggap sebagai telah diputuskan oleh Majlis Jawatankuasa Kerja:
(a) Perkara dan tindakan yang dicadangkan hendaklah di-nyatakan dengan jelasnya dan salinan surat perkelilingan itu disampaikan kepada semua ahli Majlis Jawatankuasa Kerja;
(b) Sekurang-kurang setengah dari jumlah bilangan ahli Majlis Jawatankuasa Kerja hendaklah menyatakan dengan tulisan sama ada mereka itu bersetuju atau tidak dengan cadangan yang tersebut; dan
(c) Suara yang terbanyak dari mereka yang menyatakan pendapatnya adalah menjadi keputusan.
(6) Keputusan yang didapati dengan Jalan surat perkelilingan itu hendaklah dinyatakan oleh Setiausaha Kesatuan di dalam mesyuarat Majlis Jawatankuasa Kerja yang akan datang dan dituliskan di dalam minit mesyuarat itu.
(7) Ahli Majlis Jawatankuasa Kerja yang tidak menghadiri tiga kali mesyuarat berturut-turut tidak lagi berhak menyandang jawatannya melainkan jika dapat ia memberi alasan yang memuaskan kepada Majlis Jawatankuasa Kerja.
(8) Apabila mati, berhenti atau terlucut hak seseorang ahli Majlis Jawatankuasa Kerja maka calun yang mendapat undi yang terkebawah sedikit bagi jawatan itu dalam masa undian yang lalu akan dijemput memenuhi tempat yang kosong itu. Jika calun itu tiada atau ianya enggan menerima jawatan maka Majlis Jawatankuasa Kerja berkuasa melantik mana-mana seorang ahli bagi memenuhi tempat kosong itu.
(9) Dengan menurut Peraturan-peraturan Kesatuan ini dan syarat-syarat yang terkandung di dalam Ordinan Kesatuan Sekerja 1959, maka Majlis Jawatankuasa Kerja boleh mengguna sebarang kuasa dan menjalankan sebarang kerja yang difikirkan mustahak bagi mencapai tujuan-tujuan Kesatuan dan untuk memajukan kepentingannya.
(10) Majlis Jawatankuasa Kerja hendaklah mengawal wang-wang Kesatuan supaya tidak dibelanjakan dengan boros atau ditipu. Maka dengan perintahnya Setiausaha Kesatuan atau pegawai-pegawai yang lain akan mendakwa di mahkamah seseorang pegawai, kakitangan Kesatuan atau pun ahli kerana menipu atau mengambil wang atau harta kepunyaan Kesatuan.
(11) Majlis Jawatankuasa Kerja akan mengarah Setiausaha Kesatuan atau pegawai-pegawai yang lain supaya menguruskan kerja-kerja
Kesatuan. Maka dengan menurut syarat-syarat yang terkandung dalam peraturan 11 ceraian (3) bolehlah Majlis Jawatankuasa Kerja mengambil kerja dan menetapkan gaji orang-orang yang difikirkan mustahak untuk menjalankan kerja pentadbiran kesatuan hari-hari. Pegawai-pegawai atau kakitangan Kesatuan boleh digantung kerja atau diberhentikan oleh Majlis Jawatankuasa Kerja kerana kelalaian, tidak amanah tidak layak atau enggan menjalankan keputusan-keputusannya atau kerana sebab-sebab lain yang difikirkan munasabah dan cukup, untuk keselamatan Kesatuan.
(12) Majlis Jawatankuasa Kerja akan memberi perintah kepada Pemegang-Pemegang Amanah berkenaan dengan penamaan modal dengan wang kesatuan.
(13) Majlis Jawatankuasa Kerja boleh menggantung atau memecat dari keahlian atau melarang dari memegang jawatan seseorang ahli yang pada pendapatnya bersalah kerana mencuba hendak merosakkan Kesatuan atau melakukan perbuatan yang melanggar Peraturan-Peraturan Kesatuan atau membuat atau dalam sebarang jalan mempersekutukan dirinya dengan sebarang perbuatan mencela, mengeji atau mencerca kesatuan, pegawai-pegawai atau dasar kesatuan. Perintah penggantungan, pemecatan atau larangan itu hendaklah menyatakan dengan jelasnya bentuk dan alasan-alasan bagi penggantungan, pemecatan atau larangan tersebut. Perintah itu juga hendaklah menyatakan tempoh ianya berkuatkuasa dan syarat-syarat yang bolehkan ia ditarik balik. Ahli-ahli yang telah digantung faedahnya, dipecat atau dilarang demikian itu bagaimanapun, adalah berhak untuk merayu kepada Mesyuarat Agung Tahunan dan keputusan Mesyuarat Agung Tahunan baginya itu adalah muktamad.
(14) Dalam masa di antara dua mesyuarat agung tahunan Majlis Jawatankuasa Kerja akan mentafsirkan Peraturan-peraturan Kesatuan dan apabila mustahak akan memutuskan perkara-perkara yang tidak tersebut di dalam Peraturan-peraturan ini.
(15) Kecuali keputusan-keputusan yang berkehendakan undi sulit maka keputusan-keputusan Majlis Jawatankuasa Kerja hendaklah ditaati oleh sekelian ahli Kesatuan melainkan dan sehingga dibatalkan oleh suatu ketetapan yang dibuat di dalam mesyuarat agung.
12A Jawatankuasa-Jawatankuasa Daerah
(1) Majlis Jawatankuasa Kerja, jika difikirkannya patut bolehlah melantik atau membubarkan Jawatankuasa Jawatankuasa Daerah di dalam sebarang daerah untuk menjaga kepentingan ahli-ahli di dalam daerah itu, dan bagi melanjutkan lagi tujuan-tujuan kesatuan di dalam daerah itu.
(2) Susunan keanggotaan bagi tiap-tiap Jawatankuasa Daerah itu hendaklah ditentukan oleh Majlis Jawatankuasa Kerja.
(3) Majlis Jawatankuasa Kerja hendaklah merangka Peraturan-Peraturan tambahan berseiras dengan Peraturan-Peraturan ini, bagi menentukan cara-cara penubuhan dan tugas-tugas Jawatankuasa Jawatankuasa Daerah.
(4) Jawatankuasa-Jawatankuasa Daerah akan bertugas pada pokoknya atas dasar penasihat dan tidaklah ia mempunyai kuasa pentadbiran selain dari kuasa pentadbiran yang diuntukkan kepadanya secara dinyatakan oleh Majlis Jawatankuasa Kerja.
Peraturan 13 Kewajipan Pegawai-Pegwai Kesatuan
(1) Yang Dipertua dalam masa menyandang jawatannya akan menjadi pengerusi semua mesyuarat agung dan semua mesyuarat Majlis Jawatankuasa Kerja dan akan bertanggungjawab tentang ketenteraman dan kesempurnaan mesyuarat-mesyuarat itu. Ia mempunyai undian pemutus dan akan menandatangani minit tiap-tiap mesyuarat apabila minit mesyuarat itu disahkan. Ia akan menandatangani segala cek bagi pihak Kesatuan bersama-sama dengan Setiausaha dan Bendahari Kesatuan dan akan mengawasi pentadbiran dan perjalanan Kesatuan dan juga akan berikhtiar supaya Peraturan-Peraturan ini dipatuhi oleh sekelian yang berkenaan.
(2) Naib Yang Dipertua akan mengganti Yang Dipertua dan memegang kuasanya di masa ia tiada hadir.
(3) Setiausaha Kesatuan akan mengelolakan kerja-kerja Kesatuan mengikut Peraturan-Peraturan ini dan akan menjalankan perintah-perintah Mesyuarat Agung dan Majlis Jawatankuasa Kerja. Ia akan mengawasi kerja-kerja kakitangan Kesatuan dan akan bertanggungjawab tentang surat-menyurat, menyimpan buku-buku, surat keterangan dan kertas-kertas kepunyaan jabatannya dengan cara dan aturan yang diarahkan oleh Majlis Jawatankuasa Kerja. Ia akan menghadiri semua mesyuarat dan menulis minit-minit mesyuarat itu dan akan menyediakan atau berikhtiar menyediakan penyata untuk Mesyuarat Agung Tahunan. Ia akan menyedia atau berikhtiar supaya disediakan Penyata-Penyata tahunan dan lain-lain surat keterangan yang dikehendaki oleh Pendaftar Kesatuan Sekerja dan akan menghantarnya kepada Pendaftar itu dalam masa yang ditentukan.
Ia akan menyimpan suatu daftar ahli yang mengandungi nama-nama ahli, alamat mereka itu, nombor ahli dan tarikh mereka itu menjadi ahli Kesatuan. Ia akan menandatangani segala cek bagi pihak Kesatuan bersama-sama dengan Yang Dipertua dan Bendahari.
(4) Penolong Setiausaha Kesatuan akan membantu Setiausaha Kesatuan dalam urusan pentadbiran Kesatuan dan akan menggantinya pada masa ia tiada hadir.
(5) Bendahari akan bertanggungjawab tentang menerima dan membayar wang bagi pihak Kesatuan dan tentang menyimpan dan menulis buku-buku kewangan sebagaimana yang dikehendaki oleh Peraturan-Peraturan Kesatuan Sekerja 1959 (T.U. Regulations, 1959). Ia akan mengeluarkan resit bagi tiap-tiap wang yang diterimanya. Maka tidaklah boleh pegawai-pegawai lain atau kakitangan Kesatuan di ibu pejabat menerima wang atau mengeluarkan resit resmi jika tidak dengan kuasa yang diberikan dengan bersurat oleh Yang Dipertua pada tiap-tiap kali dikehendaki mereka itu membuat demikian. Ia akan bertanggungjawab tentang keselamatan simpanan buku-buku kewangan dan surat-surat keterangan yang berkenaan di ibu pejabat. Buku-buku dan surat-surat keterangan ini tidak boleh dikeluarkan dari tempat resminya dengan tiada mendapat kebenaran yang bertulis daripada Yang Dipertua pada tiap-tiap ia hendak dikeluarkan. Ia akan menyediakan penyata kewangan bagi tiap-tiap mesyuarat kerja Majlis Jawatankuasa Kerja dan bagi Mesyuarat Agung Tahunan. Ia akan menandatangani segala cek bagi pihak Kesatuan bersama-sama dengan Yang Dipertua dan Setiausaha Kesatuan.
Peraturan 14 Pemegang Amanah
(1) Tiga orang Pemegang Amanah, yang umurnya mestilah sekurang-kurangnya 21 tahun dan bukan menjadi Setiausaha atau Bendahari Kesatuan, hendaklah dilantik di dalam Mesyuarat Agung Tahunan yang pertama dan mereka itu akan menyandang jawatan itu selama yang disukai oleh Kesatuan. Sebarang harta (real and personal estate) atau kepunyaan Kesatuan akan terserah kepada mereka itu untuk diuruskan sebagaimana yang diarahkan oleh Majlis Jawatankuasa Kerja.
(2) Pemegang Amanah tidak boleh menjual, menarik balik atau memindah milik sebarang harta Kesatuan dengan tiada mendapat persetujuan dan kuasa daripada Majlis Jawatankuasa Kerja yang diberi dengan bertulis oleh Setiausaha dan Bendahari Kesatuan.
(3) Seseorang Pemegang Amanah boleh dilucutkan jawatannya oleh Majlis Jawatankuasa Kerja kerana tidak sihat, tidak sempurna fikiran, tidak berada dalam negeri atau kerana sebarang sebab lain yang menyebabkan ia tidak boleh menjalankankan tugasnya atau tidak dapat menyempurnakan tugasnya dengan memuaskan hati.
Jika seseorang Pemegang Amanah itu mati, berhenti atau diberhentikan sebelum Mesyuarat Agung Tahunan maka tempatnya itu akan dipenuhkan oleh Majlis Jawatankuasa Kerja.
(4) Mesyuarat Agung Tahunan boleh melantik sebuah syarikat pemegang amanah seperti yang diterangkan di dalam Undang-undang Syarikat Amanah 1949 (Trust Companies Ordinance, 1949) atau undang-undang lain yang tertulis yang mengawal syarikat-syarikat pemegang amanah di Malaysia Barat, untuk menjadi pemegang amanah yang tunggal bagi Kesatuan ini. Jika syarikat pemegang amanah seperti yang tersebut itu dilantik maka perkataan “pemegang amanah” di dalam Peraturan ini akan difahamkan bererti syarikat pemegang amanah itu.
Peraturan 15 Juruodit Dalam (Amendment w.e.f. 1st Nov. 77)
(1) Dua orang Juruodit Dalam, yang bukan menjadi ahli Majlis Jawatankuasa Kerja, hendaklah dilantik dengan angkat tangan oleh Mesyuarat Agung Tahunan. Mereka itu akan memeriksa kira-kira Kesatuan tiga kali setahun. Pemeriksaan kira-kira itu harus dijalankan pada bulan April, Ogos dan Disember dan menyampaikan penyatanya kepada Majlis Jawatankuasa Kerja.
(2) Buku-buku dan kira-kira Kesatuan hendaklah diodit oleh kedua-dua Juruodit itu bersama-sama dan mereka itu berhak melihat semua buku-buku dan surat-surat keterangan yang mustahak untuk menyempurnakan tugasnya.
(3) Seseorang ahli Kesatuan bolehlah mengadu dengan bersurat kepada Juruodit Dalam mengenai sebarang hal kewangan yang tidak betul, yang telah sampai kepada pengetahuannya.
Peraturan 16 Odit Am
(1) Kira-kira Am Kesatuan hendaklah diodit oleh seorang Akauntan yang bertauliah atau orang-orang lain yang berkebolehan dan layak yang dipersetujukan oleh Pendaftar Kesatuan Sekerja dan kira-kira itu hendaklah diakui benar dengan surat sumpah (statutory declaration). Pemeriksaan kira-kira itu hendaklah dimulakan selepas sahaja ditutup tahun kewangan Kesatuan pada 31hb. Mac dan hendaklah selesai sebelum 31hb. Mei. Juruodit itu berhak melihat semua buku-buku dan surat-surat keterangan yang mustahak untuk menyempurnakan tugasnya.
(2) Penyata Juruodit itu hendaklah dibentangkan di dalam Mesyuarat Agung Tahunan dan satu salinannya hendaklah dihantarkan kepada tiap-tiap ahli Kesatuan sebelum Mesyuarat Agung Tahunan.
Peraturan 17 Jemaah Pemeriksa-Pemeriksa Undi
Satu jemaah Pemeriksa-Pemeriksa Undi yang terdiri dari lima orang dan bukan merupakan pegawai-pegawai yang berkhidmat atau calun-calun bagi jawatan pegawai-pegawai Kesatuan dan yang tinggal berdekatan degan Ibu Pejabat Kesatuan, hendaklah dilantik secara angkat tangan di dalam Mesyuarat Agung Tahunan untuk mentadbirkan segala perjalanan undi sulit. Sekurang-kurangnya dua orang Pemeriksa Undi hendaklah hadir apabila pembuangan undi dijalankan. Mereka hendaklah memerhatikan bahawa aturan-aturan yang tertera di dalam Kembaran kepada Peraturan-Peraturan ini dipatuhi dengan penuh dan hendaklah ia menyampaikan kepada Majlis Jawatankuasa Kerja suatu Penyata bertanda tangan mengenai keputusan-keputusan undi di dalam borang-borang yang ditentukan di bawah Peraturan-Peraturan Kesatuan Sekerja 1959.
Peraturan 18 Gaji dan Bayaran-Bayaran lain
(1) Gaji orang-orang yang bekerja sepenuh masa dengan Kesatuan akan ditetapkan oleh Mesyuarat Agung Tahunan apabila mustahak.
(2) Pegawai-Pegawai Kesatuan yang dihendaki berkhidmat separuh masa bagi pihak Kesatuan bolehlah diberi bayaran saguhati. Banyaknya wang yang akan dibayar hendaklah diputuskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan.
(3) Pegawai-pegawai dan wakil-wakil Kesatuan bolehlah diberi bayaran kerana hilang masa kerjanya dan kerana telah membuat perbelanjaan yang berpatutan bagi menjalankan kerja-kerja Kesatuan jika diluluskan oleh Majlis Jawatankuasa Kerja. Suatu keterangan perbelanjaan yang beralaskan resit atau lain-lain keterangan pembayaran sedapat yang boleh hendaklah dihantar kepada Majlis Jawatankuasa Kerja. Had terbanyak anggaran elaun dan perbelanjaan-perbelanjaan yang boleh dibayar di bawah perenggan ini akan ditentukan dari semasa kesemasa oleh ahli-ahli di dalam mesyuarat agung tahunan atau sesuatu mesyuarat agung luarbiasa dan Majlis Jawatankuasa Kerja tidak boleh membenarkan sebarang bayaran kecuali dalam had anggaran yang ditentukan di dalam mesyuarat agung itu.
Peraturan 19 Kewangan dan Kira-Kira
(Amendment w.e.f. 11th June 2001)
(1) Wang-wang Kesatuan bolehlah dibelanjakan kerana perkara perkara yang tersebut di bawah ini: –
(a) Bayaran gaji, bayaran elaun dan perbelanjaan kepada pegawai-pegawai Kesatuan.
(b) Bayaran dan perbelanjaan pentadbiran Kesatuan termasuk bayaran odit kira-kira wang Kesatuan.
(c) Mengambil tindakan mahkamah mendakwa atau membela sesuatu hal berhubung dengan Kesatuan atau seseoang ahlinya dengan tujuan hendak memperolehi atau mempertahankan hak kesatuan atau sebarang hak yang terbit dari perhubungan di antara seseorang ahli degan majikannya.
(d) Menguruskan hal pertikaian kerja bagi pihak Kesatuan atau bagi pihak ahli-ahlinya dan membantu sebarang Kesatuan yang lain atau ahli-ahli Kesatuan itu dalam hal pertikaian kerja.
(e) Bayaran gantirugi kepada ahli kerana kerugian yang disebabkan pertikaian kerja.
(f) Bayaran elaun kepada ahli atau tanggungannya di masa kematian, berumur tua, sakit ditimpa kemalangan atau hilang pekerjaan ahli-ahli.
(g) Bayaran yuran gabungan kepada persekutuan kesatuan-kesatuan sekerja, majlis kesatuan sekerja dan badan penasihat atau perhubungan kesatuan-kesatuan sekerja yang didaftarkan di bawah Undang-undang yang bertulis di Semenanjung Malaysia; dan bayaran kepada persatuan-persatuan atau pertubuhan-pertubuhan yang terdiri di luar Semenanjung Malaysia yang diluluskan oleh Menteri Buruh dari semasa kesemasa.
(h) Bayaran-bayaran yang tersebut di bawah ini: -
(i) Tambang-tambang keretapi, sewa kereta yang mustahak, perbelanjaan makan dan tempat tidur dengan beralaskan resit, atau sebanyak yang telah ditentukan oleh Kesatuan;
(ii) Bayaran ganti gaji yang hilang kerana menghadiri mesyuarat- mesyuarat mengenai atau berhubung dengan hal perhubungan perusahaan yang dihadirinya sebagai wakil Kesatuan.
(iii) Perbelanjaan kerana mengada atau mengekalkan badan-badan penasihat atau perhubungan kesatuan sekerja.
(i) Mengarang, mencetak dan menerbit dan memperedarkan sebarang suratkhabar, majalah, kertas berita atau lain-lain penerbitan yang dikeluarkan oleh kesatuan untuk menjayakan tujuan-tujuannya atau untuk faedah ahli-ahlinya dengan menurut peraturan-peraturan yang telah didaftarkan.
(j) Bayaran yuran gabungan kepada persatuan-persatuan kebudayaan dan pelajaran yang berdaftar di bawah Undang-undang yang tertulis di Semenanjung Malaysia dan kepada Persatuan-persatuan atau pertubuhan-pertubuhan di luar Semenanjung Malaysia yang diluluskan oleh Menteri Buruh dari semasa ke semasa.
(k) Mengadakan gerakan sosial, sukan, pelajaran dan derma bagi ahli-ahli Kesatuan.
(l) Mendirikan rumah untuk urusan Kesatuan.
(2) Wang-wang Kesatuan tidak boleh digunakan secara langsung atau sebaliknya untuk membayar denda atau hukuman yang dikenakan oleh mahkamah kepada sesiapa pun.
(3) Wang-wang kepunyaan Kesatuan yang tidak dikehendaki untuk perbelanjaan biasa yang telah diluluskan hendaklah dimasukkan ke dalam bank yang diluluskan oleh Majlis Jawatankuasa Kerja oleh Bendahari dalam tempoh tujuh hari dari tarikh penerimaanya. Kira-kira bank hendaklah dengan nama Kesatuan dan nama bank itu hendaklah dihantarkan kepada Pendaftar Kesatuan Sekerja.
(4) Semua cek atau notis pengeluaran atas nama Kesatuan hendaklah ditandatangani bersama-sama oleh Yang Dipertua (di masa ketiadaannya oleh Naib Yang Dipertua), Setiausaha (di masa ketiadaannya oleh Penolong Setiausaha Agung) dan Bendahari. Di masa ketiadaan Bendahari maka hendaklah Majlis Jawatankuasa Kerja melantik seorang dari antara mereka itu untuk menggantinya.
(5) Bendahari dibenarkan menyimpan wang tunai tidak lebih dari tiga ratus ringgit pada sesuatu masa. Tidaklah boleh dibuat sesuatu perbelanjaan yang melebihi dua ratus ringgit pada sesuatu masa dengan tiada mendapat persetujuan terlebih dahulu dari Majlis Jawatankuasa Kerja. Bendahari hendaklah menyediakan suatu penyata belanjawan tahunan untuk diluluskan oleh ahli-ahli pada Mesyuarat Agung Tahunan dan semua perbelanjaan yang dibuat oleh Kesatuan hendaklah dalam had-had yang dikuatkuasakan oleh belanjawan yang diluluskan itu. Belanjawan itu boleh dipinda dari semasa ke semasa dengan dipersetujukan terlebih dahulu oleh ahli-ahli di dalam mesyuarat agung tergempar atau dengan undi sulit.
(6) Semua Harta Kesatuan hendaklah dimiliki dengan nama Pemegang-Pemegang Amanah bersama-sama. Wang-wang Kesatuan yang tidak dikehendaki untuk urusan pentadbiran Kesatuan sehari-hari bolehlah:
(a) digunakan untuk membeli atau memajak sebarang tanah atau bangunan untuk kegunaan Kesatuan. Tanah atau bangunan ini bolehlah dijual, ditukar, disandarkan (charged) atau dipajak mengikut mana-mana undang-undang yang tertulis atau undang-undang lain terpakai pada masa ini;
(b) dilaburkan dalam jaminan-jaminan amanah (securities) atau dalam pinjaman kepada mana-mana Syarikat mengikut mana-mana Undang-undang yang berkaitan dengan pemegang amanah (trustees); atau
(c) disimpan dalam Bank Simpanan Nasional dalam mana-mana bank yang ditubuhkan di Malaysia atau mana-mana syarikat kewangan yang merupakan syarikat cawangan bank tersebut; atau
(d) dengan mendapat kelulusan terlebih dahulu dari Menteri Buruh dan Tenaga Rakyat dan tertakluk kepada syarat-syarat yang mungkin dikenakan oleh beliau, dilaburkan:
(i) dalam mana-mana Syarikat kerjasama yang berdaftar; atau
(ii) dalam mana-mana pengusahaan perniagaan, perindustrian atau pertanian atau dalam enteprais bank yang ditubuhkan dan berjalan urusannya di Malaysia.
Semua belian dan pelaburan-pelaburan di bawah Peraturan ini hendaklah dipersetujui terlebih dahulu oleh Majlis Jawatankuasa Kerja Kesatuan dan dibuat dengan nama Pemegang-pemegang amanah Kesatuan, yang akan memegangnya bagi pihak ahli-ahli kesatuan.
(7) Bendahari hendaklah menulis atau menguruskan supaya ditulis di dalam buku kira-kira wang Kesatuan keterang penerimaan dan perbelanjaan wang Kesatuan. Apabila ia berhenti atau meletak jawatan atau pekerjaannya, dan pada atau sebelum 1hb. Jun tiap-tiap tahun, dan pada bila-bila masa ia dikehendaki membuat demikian oleh Majlis Jawatankuasa Kerja atau oleh ahli-ahli dengan ketetapan yang dibuat di dalam mesyuarat agung atau Mesyuarat Agung Luarbiasa, atau apabila dikehendaki oleh Pendaftar Kesatuan Sekerja, maka hendaklah ia menyerahkan kepada Kesatuan dan ahli-ahlinya atau kepada Pendaftar Kesatuan Sekerja, jika permintaan itu dari pihaknya, suatu kenyataan yang sah lagi betul perihal sekelian wang yang diterima atau di bayarnya dalam masa yang baharu lalu semenjak ia menerima jawatannya, atau jika ia telah pernah membentangkan kira-kiranya terlebih dahalu, maka dari tarikh kira-kira dahulu itu dibentangkan.
Maka hendaklah dinyatakannya baki wang ditangannya pada masa ia menyerahkan kira-kira itu dan menerangkan sekelian bond dan jaminan (“bonds and securities”) atau lain-lain harta Kesatuan di dalam simpanan atau jagaannya.
(8) Borang yang akan digunakan untuk membentang kira-kira itu ialah sebagaimana yang ditentukan oleh Peraturan-Peraturan Kesatuan Sekerja 1959 (T.U. Regulations 1959). Kira-kira itu hendaklah diakui betul dengan surat sumpah dan Kesatuan hendaklah menguruskan supaya kira-kira itu diodit oleh orang yang layak dan berkebolehan yang dipersetujukan oleh Pendaftar Kesatuan Sekerja. Sesudah sahaja diodit maka hendaklah Bendahari menyerahkan kepada Pemegang-Pemegang Amanah Kesatuan, jika dikehendaki oleh mereka itu, sekelian bond dan jaminan, perkakas, buku-buku, surat-surat dan harta kepunyaan Kesatuan yang ada di dalam simpanan atau jagaannya.
Peraturan 20 Pemeriksaan Buku-Buku dan Kira-Kira
Tiap-tiap orang yang berhak dalam hal kewangan Kesatuan boleh memeriksa buku-buku dan kira-kira Kesatuan dan nama-nama ahli pada masa-masa yang munasabah di tempat buku-buku itu disimpan dengan syarat ia membuat permintaan dengan memberi tempoh yang berpatutan.
Peraturan 21 Yuran khas (levy)
(1) Sesudah diputuskan dengan undi sulit menurut Peraturan 25, maka bolehlah Majlis Jawatankuasa Kerja memungut yuran khas dari semua ahli-ahli Kesatuan dan semua ahli (selain dari mereka yang dikecualikan oleh Majlis Jawatankuasa Kerja menurut Peraturan ceraian (5)) hendaklah menjelaskannya.
(2) Jika seseorang ahli tidak menjelaskan yuran khas itu dalam tempoh enam minggu dari tarikh ia dijalankan atau dalam tempoh yang lebih panjang lagi yang ditetapkan di dalam keputusan yang telah diambil, maka wang itu akan dikira sebagai hutang yuran Kesatuan dan ahli itu boleh terlucut haknya menurut Peraturan 4.
Peraturan 22 Pertikaian Kerja
(1) Jika seseorang ahli berhajat supaya diambil tindakan berkenaan dengan syarat-syarat pekerjaannya atau sebarang hal yang lain maka hendaklah ia memberi tahu Setiausaha akan pengaduannya itu dengan surat jika dapat, dan Setiausaha akan menyampaikan hal pengaduan itu kepada Majlis Jawatankuasa Kerja dengan serta-merta. Jika pengaduan ahli dibuat dengan mulut maka hendaklah dituliskannya dan disampaikan satu salinan pengaduan itu bersama-sama dengan laporannya, dan diserahkan kepada Majlis Jawatankuasa Kerja.
(2) Jika berbangkit sesuatu pertikaian Kerja maka ahli-ahli yang berkenaan hendaklah menyampaikan hal itu kepada Setiausaha dan Setiausaha hendaklah terus melapurkan hal itu kepada Majlis Jawatankuasa Kerja.
(3) Tidaklah dibenarkan pemberhentian kerja beramai-ramai berlaku kecuali:-
(a) kebenaran telah diberikan oleh Majlis Jawatankuasa Kerja;
(b) sekurang-sekurangnya dua pertiga dari ahli-ahli yang terlibat dan berhak mengundi menurut Peraturan 25 telah mengundi dengan undisulit menyokong tinkakan yang disyorkan itu; dan
(c) keputusan undi telah dimaklumkan kepada Pendaftar Kesatuan Sekerja di dalam borang yang ditentukan oleh Peraturan-Peraturan kecuali undi sulit telah dijalankan dan suara ramai undi itu sebanyak yang di kehendaki yang menyetujuinya telah diperolehi.
(4) Sebarang undi sulit yang diadakan bagi maksud tindakan perusahaan hendaklah mengandungi usul yang menyatakan dengan jelasnya bentuk tindakan perusahaan yang dicadangkan dan alasan-alasan bagi tindakan perusahaan tersebut, dan keputusan undi itu sah hanya bagi tempoh enam bulan sahaha dikira dari tarikh undian itu diadakan.
(5) Mana-mana kumpulan ahli yang mengambil tindakan perusahaan dalam bentuk apa sekali pun yang bertentangan dengan Ordinan Kesatuan Sekerja, 1959, atau Peraturan-Peraturan ini, akan terhenti dari menjadi ahli Kesatuan dan setelah itu ahli-ahli itu tidaklah layak menjadi ahli sesuatu kesatuan sekerja kecuali diluluskan oleh Pendaftar Kesatuan Sekerja.
Peraturan 23 Pekerjaan Pelajaran
Kesatuan boleh menyelenggarakan pelajaran bagi ahli-ahlinya dengan mengadakan perjumpaan-perjumpaan dan kelas-kelas. Selanjutnya Kesatuan boleh menerbitkan buku-buku dan menjalankan urusan-urusan lain seumpamanya yang boleh memajukan pengetahuan ahli-ahlinya dalam hal perusahaan kebudayaan dan kemasyarakatan dengan syarat hendaklah menurut undang-undang yang berjalan kuatkuasanya mengenai perbelanjaan wang-wang Kesatuan sekerja.
Peraturan 24 Peraturan dan Pemindaan Peraturan
(1) Pemindaan Peraturan yang akan menyebabkan beratnya lagi tanggungan ahli untuk mencarum atau kurangnya faedah yang akan didapatinya hanya boleh dibuat jika diluluskan oleh ahli-ahli dengan undi sulit. Dengan syarat ini Peraturan-Peraturan Kesatuan bolehlah dipinda di dalam Mesyuarat Agung yang diadakan menurut Peraturan 9 atau Peraturan 10 atau dengan undi sulit.
(2) Tiap-tiap pindaan Peraturan akan berjalan kuatkuasanya dari tarikh pindaan itu didaftarkan oleh Pendaftar Kesatuan Sekerja kecuali jika suatu tarikh yang terkemudian dari itu ada ditentukan di dalam Peraturan ini.
(3) Satu naskah Peraturan Kesatuan yang dicetak dalam Bahasa Malaysia atau bersama-sama dengannya satu naskah dalam Bahasa Inggeris hendaklah diletakkan di suatu tempat yang senang dilihat di pejabat Kesatuan yang di daftarkan. Setiausaha Kesatuan hendaklah memberi Peraturan Kesatuan kepada sesiapa jua yang memintanya dengan membayar tidak lebih dari seringgit senaskah.
Peraturan 25 Undi Sulit
(1) Keputusan-keputusan berkenaan dengan perkara-perkara yang tersebut di bawah ini hendaklah dibuat dengan undi sulit oleh semua ahli atau oleh ahli-ahli yang berkenaan (sebagaimana ditentukan):
(a) Pilihan Pegawai Kesatuan (selain dari Pemegang Amanah) menurut Peraturan 12;
(b) Pilihan wakil untuk persekutuan kesatuan-kesatuan sekerja;
(c) Semua perkara mengenai mogok menurut Peraturan 22 ceraian (3);
(d) Mengenakan kutipan khas (levy);
(e) Pemindaan Peraturan Kesatuan jika pemindaan itu akan menyebabkan beratnya lagi tanggungan ahli untuk mencarum atau kurangnya faedah yang akan didapatinya;
(f) Bercantum dengan kesatuan sekerja yang lain atau memindah kuasa dan tanggungan kepada kesatuan sekerja yang lain;
(g) Bergabung dengan atau menubuhkan sebuah persekutuan kesatuan-kesatuan sekerja;
(h) Membubarkan Kesatuan atau persekutuan kesatuan-kesatuan sekerja.
(2) Untuk mengambil undi sulit cara-cara yang diterangkan di dalam Kembaran kepada Peraturan-Peraturan ini hendaklah diikuti.
Peraturan 26 Pertikaian
(1) Tiap-tiap pertikaian yang berlaku di antara: -
(a) Seseorang ahli atau seseorang yang menuntut melalui seorang ahli atau menurut Peraturan ini, di sebelah pihak, dengan Kesatuan atau Pegawai Kesatuan di pihak yang lagi satu; atau
(b) seseorang yang musykil yang telah berhenti menjadi ahli Kesatuan atau seseorang yang menuntut melalui orang yang musykil itu, di sebelah pihak, dengan Kesatuan atau Pegawai Kesatuan, di pihak yang lagi satu; atau
(c) Kesatuan dengan seseorang pegawai Kesatuan; hendaklah diselesaikan dengan jalan pengantaraan (arbitration). Dengan syarat dalam pertikaian berkenaan dengan:
(i) pilihan pegawai kesatuan; atau
(ii) kira-kira dan kewangan kesatuan; atau
(iii) melanggar Peraturan Kesatuan;
bolehlah kedua-dua pihak, bersama-sama menyampaikan pertikaian itu kepada Pendaftar Kesatuan Sekerja dan keputusan Pendaftar adalah muktamad.
(2) Suatu jemaah pengantara (arbtitrators) yang terdiri tidak kurang dari lima orang yang tidak ada kena mengena dengan kewangan Kesatuan secara langsung atau tidak langsung akan dilantik di dalam Mesyuarat Agung Tahunan yang pertama untuk menjadi pengantara-pengantara yang tetap bagi Kesatuan. Apabila kosong tempat mereka itu kekosongan itu hendaklah dipenuhkan dengan memilih gantinya di dalam mesyuarat agung yang berikut.
(3) Pihak yang mengadu dalam sesuatu pertikaian atau seseorang yang dipilih olehnya hendaklah memilih dengan undi tiga nama dari nama-nama pengantara Kesatuan. Maka tiga orang pengantara yang nama mereka itu terdahulu dipilih akan menyelesaikan pertikaian itu.
(4) Dalam Peraturan ini perkataan “pertikaian” meliputi sebarang pertikaian mengenai soal sama ada seseorang ahli atau orang yang musykil itu berhak menjadi ahli, terus menjadi ahli atau pun diterima semula menjadi ahli.
Akan tetapi bagi seseorang yang telah berhenti manjadi ahli perkataan “pertikaian” ini hanya meliputi pertikaian di antara dengan Kesatuan atau Pegawai Kesatuan mengenai soal yang berbangkit di masa ia menjadi ahli.
(5) Pihak-pihak yang berselisih berhak membuat rayuan terhadap sebarang keputusan yang telah diberi oleh pengantara-pengantara kepada Mesyuarat Agung Tahunan dan keputusan mesyuarat itu adalah muktamad.
Peraturan 27 Pembubaran
(1) Kesatuan ini tidak boleh dibubarkan sendiri melainkan dengan persetujuan tidak kurang dari 75% dari ahli-ahlinya yang berhak
mengundi yang didapati dengan undi sulit.
(2) Jika sekiranya Kesatuan ini dibubarkan seperti yang tersebut di atas maka segala hutang dan tanggungan yang dibuat dengan halal bagi pihak Kesatuan hendaklah dijelaskan dengan penuh dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan menurut keputusan yang akan dibuat dengan undi sulit.
KEMBARAN
ATURAN MENJALANKAN UNDI SULIT
1. Majlis Jawatankuasa Kerja hendaklah menetapkan tarikh masa dan tempat mengundi dan memberi semua ahli peluang yang berpatutan membuang undi mereka.
2. Setiausaha hendaklah berikthiar untuk mengadakan kertas undi yang cukup seperti contoh A atau contoh B dan hendaklah memberi kepada tiap-tiap ahli yang berhak mengundi, satu kertas undi yang bertandakan mohor kesatuan atau, tandatangan setiausaha bersama dengan satu sampul surat beralamat kepada setiausaha. Kertas-kertas undi hendaklah dikeluarkan menerusi pos atau unjukan tangan. Sekiranya diberikan dengan unjukan tangan, tandatangan si penerima secara bersendirian hendaklah diperolehi sebagai bukti penerimaannya. Sampul surat itu akan mengandungi perkataan “kertas undi” (Ballot Paper) dan nombor ahli tertulis di atasnya. Kertas undi dan sampul surat itu hendaklah disampaikan kepada ahli dalam suatu masa yang membolehkan ahli itu menghantar kembali kertas undi itu di dalam masa yang ditetapkan bagi pekerjaan mengundi itu.
3. Ahli-ahli bebas memilih sama ada hendak mengundi dengan pos atau secara peribadi. Sekiranya seorang ahli itu memilih hendak mengundi dengan pos ia hendaklah mengembalikan kertas undi yang telah ditandanya kepada Setiausaha menurut cara-cara yang ditentukan di dalam aturan ini; tetapi sekiranya ia memilih hendak mengundi secara peribadi, hendaklah ia membuangkan undinya di dalam Mesyuarat Agung menurut cara-cara yang ditentukan di bawah ini.
4. Tiap-tiap ahli yang berhak mengundi dan hadir di dalam mesyuarat dan menyatakan dengan bersurat bahawa ia belum lagi menerima kertas undi melalui pos akan diberi oleh setiausaha satu kertas undi yang bertandakan mohor kesatuan atau ditandatangani oleh setiausaha beserta dengan satu sampul surat yang mengandungi perkataan “kertas undi”dan nombor ahli tertulis di atasnya.
5. Pekerjaan mengundi hendaklah dilaksanakan dibawah pengawasan Pemeriksa-pemeriksa undi yang dilantik menurut peraturan 17. Sekurang-kurangnya dua orang Pemeriksa Undi mesti hadir sepanjang masa membuang undi itu dijalankan. Sebelum undi dijalankan Pemeriksa-pemeriksa Undi hendaklah menentukan yang peti undi itu kosong, dan setelah itu mereka hendaklah mengunci dan memeterinya kemudian menyimpan kunci-kunci itu dalam jagaan mereka.
6. Sebelum undi itu dijalankan maka pemeriksa undi akan diberi oleh setiausaha satu senarai nama ahli-ahli yang diberi kertas undi (dengan tangan atau dengan pos), dan mereka hendaklah menentukan dengan menyemak senarai itu dengan buku daftar ahli dan yuran:
(a) bahawa ahli-ahli yang berhak sahaja diberi peluang mengundi;
(b) tiap-tiap ahli mengundi sekali sahaja bagi sesuatu perkara;
(c) bahawa ahli-ahli yang telah mengundi dengan pos itu tidak diberi kertas undi menurut perenggan 4 di atas;
(d) bahawa ahli-ahli boleh mengundi mengikut suka mereka dan undian mereka tidaklah diketahui oleh orang lain.
7. Apabila sampai masa mengundi, tiap-tiap ahli yang telah diberi kertas undi hendaklah masuk seorang lepas seorang ke dalam bilik mengundi atau di bahagian dewan yang ditempatkan peti undi itu dan menurunkan undinya dengan menulis satu pangkah atau beberapa pangkah di atas kertas undi itu tanda-tanda yang lain tidak boleh tidak boleh ditulis. Selepas itu, lipatkan kertas undi itu sekurang-kurangnya sekali, masukkan dalam sampul surat yang diberikan oleh kesatuan dan kemudian masukkan pula ke dalam peti undi yang telah disediakan untuknya, setelah itu tinggalkan tempat itu dengan segera.
8. Seseorang ahli yang mengundi melalui pos hendaklah menanda kertas undinya demikian juga dan sesudah itu hendaklah melipatkan kertas undi itu sekurang-kurangnya sekali dan memasukkannya ke dalam sampul surat yang telah disediakan kerananya dan menghantarkannya kepada Setiausaha supaya sampai kepadanya sebelum hari yang ditetapkan untuk mengundi itu. Setiausaha akan menyimpan segala kertas undi itu dengan tidak terbuka di suatu tempat yang selamat hingga hari yang ditetapkan manakala ia akan menyerahkannya kepada pemeriksa-pemeriksa undi yang akan memasukkannya ke dalam peti undi.
9. Setelah semua ahli yang berhak mengundi itu membuang undi masing-masing maka pemeriksa-pemeriksa undi, setelah mengistiharkan tutup undi, mulalah membuka peti undi dan mengira undi-undi itu di hadapan sekurang-kurangnya tiga orang pegawai kesatuan.
Mereka mula-mula hendaklah menyemak Nombor ahli Kesatuan di atas sampul surat itu dengan senarai yang diberi oleh setiausaha. Sambil sampul surat disemak maka Nombor ahli itu hendaklah dipotong hingga tidak dapat dibaca semula dan sampul-sampul surat itu dimasukkan dengan tidak terbuka ke dalam satu peti yang berkunci.
Setelah semua sampul-sampul surat itu disemak, maka Pemeriksa-Pemeriksa Undi hendaklah mengeluarkan sampul-sampul surat itu dari peti berkunci itu, membuka sampul-sampul surat itu dan memasukkan kertas undi yang masih terlipat itu ke dalam peti undi.
Setelah itu mereka akan mula mengira undi-undi itu. Jika pada pendapat seseorang Pemeriksa Undi itu ada kertas undi yang tidak boleh dipakai, kertas undi yang demikian hendaklah disifatkan “rosak” dan ditolak.
10. Setelah kesemua undi-undi itu dikira, maka pemeriksa-pemeriksa undi hendaklah menyediakan satu penyata, dengan dua salinan, akan keputusan undian, dan menyerahkan kedua-dua salinan itu kepada Setiausaha sesudah ditandatangani oleh mereka. Penyata itu hendaklah ditandatangani pula oleh Yang Dipertua dan Setiausaha, dan setelah diperbuat demikian, Yang Dipertua atau Setiausaha hendaklah memberi tahu keputusan undian itu kepada ahli-ahli yang hadir.
11. Satu salinan penyata Pemeriksa Undi hendaklah dihantar kepada Pendaftar Kesatuan Sekerja, dan satu salinan lagi bagi disimpan oleh Setiausaha sekurang-kurangnya enam bulan dan boleh diperiksa oleh sesiapa juga ahli yang suka hendak memeriksanya.
12. Setelah sahaja keputusan itu disahkan betul kertas undi yang telah dikira, termasuk yang ditolak hendaklah disimpan ke dalam satu sampul surat yang terbesar dan disimpan di suatu tempat yang selamat selama enam bulan untuk diperiksa oleh pegawai-pegawai dari Pejabat Pendaftaran Kesatuan Sekerja. Di akhir enam bulan, maka kertas-kertas itu bolehlah dibinasakan oleh atau di bawah kelolaan Yang Dipertua dan Setiausaha.
CONTOH A
Nama Kesatuan: Kesatuan Kakitangan Akademik Kolej Tunku Abdul Rahman
No. Pendaftaran: 512
Alamat: Sekolah Pengajian Pra-Universiti,
Kolej Tunku Abdul Rahman,
P.O. Box 10979
50932 Kuala Lumpur.
KERTAS UNDI BAGI PILIHAN PEGAWAI-PEGAWAI KESATUAN
Cara Mengundi
1. Tuan berhak mengada 8 undi ia itu satu undi bagi tiap-tiap seorang Yang Dipertua, Naib Yang Dipertua, Setiausaha, Penolong Setiausaha dan Bendahari, dan 3 undi bagi Ahli Jawatankuasa Kerja.
2. Tuliskanlah undi tuan dengan SULIT dengan menaruh tanda pangkah seperti ini “X” di dalam ruangan yang disediakan bertentang dengan nama calon yang tuan suka mengundi. JANGANLAH DITULISKAN LAIN DARI TANDA “X” dalam kertas ini dan janganlah mengundi lebih dari angka yang telah ditetapkan dan jika dibuat demikian kertas undi ini akan ditolak sebagai rosak dan tidak akan dikira.
3. Sesudah menulis tanda undi itu lipatkanlah kertas ini sekurang-kurangnya sekali, masukkan ke dalam sampul suratnya dan masukkan ke dalam peti undi yang telah disediakan di dalam bilik mengundi itu. Jika tuan mengundi dengan pos, lipatkanlah kertas ini sekurang-kurangnya sekali, masukkan ke dalam sampul surat yang telah disediakan dan hantarkan kepada Setiausaha Kesatuan supaya sampai kepadanya tidak lewat dari ……………….. 20 ….
YANG DIPERTUA
No. Nama Calon Undi satu sahaja
1. ……………………………….. …………………..
2. …………………………….….. …………………..
dst
NAIB YANG DIPERTUA
No. Nama Calon Undi satu sahaja
1. …………………………….…. …………………..
2. …………………………….…. …………………..
dst
SETIAUSAHA
No. Nama Calon Undi satu sahaja
1. …………………………….…. …………………..
2. …………………………….…. …………………..
dst
PENOLONG SETIAUSAHA
No. Nama Calon Undi satu sahaja
1. …………………………….…. …………………..
2. …………………………….…. …………………..
dst
BENDAHARI
No. Nama Calon Undi satu sahaja
1. ………………….…………… …………………..
2. ……………………………….. …………………..
dst
AHLI MAJLIS JAWATANKUASA
No. Nama Calon Undi tiga sahaja
1. ……………………………….. …………………..
2. ……………………………….. …………………..
3. ……………………………….. …………………..
4. ……………………………….. …………………..
5. ……………………………….. …………………..
6. ……………………………….. …………………..
7. ……………………………….. …………………..
dst
Cap Nama Kesatuan
atau
Tanda Tangan Setiausaha.
CONTOH B
Nama Kesatuan : Kesatuan Kakitangan Akademik Kolej Tunku Abdul Rahman
No. Pendaftaran : 512
Alamat : Sekolah Pengajian Pra-Universiti,
Kolej Tunku Abdul Rahman,
P.O. Box 10979,
50932 Kuala Lumpur.
KERTAS UNDI
Cara Mengundi
1. Tuan berhak mengundi sama ada MENYOKONG atau MEMBANGKANG usul yang berikut: -
(Tuliskan Usul itu di sini)
2. Tuliskan undi dengan SULIT dengan menaruh tanda pangkah seperti ini “X” di dalam ruangan yang disediakan di bawah ini bertentang dengan perkataan “MENYOKONG” atau perkataan “MEMBANGKANG” mengikut keputusan sendiri. Janganlah dituliskan lain dari tanda “X” dalam kertas ini dan jika dibuat demikian kertas undi ini akan ditolak sebagai rosak dan tidak dikira.
3. Sesudah menulis tanda undi lipatkanlah kertas ini sekurang-kurangnya sekali masukkan ke dalam sampul suratnya dan masukkan ke dalam peti undi yang telah disediakan di dalam bilik mengundi itu. Jika tuan mengundi dengan pos, lipatkan kertas ini sekurang-kurangnya sekali, masukkan kedalam sampul surat yang telah disediakan dan hantarkan kepada Setiausaha supaya sampai kepadanya tidak lewat dari,………………….. 20 ………..
Undi di sini
MENYOKONG
MEMBANGKANG
Cap Nama Kesatuan
atau
Tandatangan Setiausaha
Where is the Constitution??
Will it be uploaded later?
Hey, where’s the comment I posted earlier??
:p
Why is it that immediately after opening this page, it says no comments yet, but after adding a comment, all the previous comments made can be seen?
Yes it will.
Will check on this. Try it out and see if it happens again. Thank you.